Rabu

Dinar Kelantan: Masa lancar RM323, hari ini RM809 - Harakahdaily

 

KOTA BHARU, 10 Ogos: Langkah Kerajaan Kelantan memperkenalkan Dinar dan Dirham
sebagai aset untuk rakyat di negeri ini menabung merupakan jalan yang tepat apabila 
satu dinar yang dilancar empat tahun lalu bernilai RM323 hari ini meningkat RM809.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri,
 Datuk Husam Musa, berkata peningkatan itu merupakan sejarah dalam  kenaikan
 harga emas dunia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco di sini sebentar tadi.

Menurutnya, harga emas pasaran dunia pula hari ini meningkat kepada USD1,723
 dan ianya merupakan satu sejarah dalam kenaikan harga emas.

“Mana-mana masyarakat yang sebelum ini membeli emas mendapat keuntungan yang
 besar dan rugi sekiranya tidak berbuat demikian bagi mereka yang mampu.

”Bagaimanapun sekarang kita masih boleh membelinya kerana ia belum terlewat
 memandangkan harga emas pasaran dunia akan naik lagi mencecah USD3,000,” ujarnya.

Menurutnya, memandangkan kerajaan negeri menyedari perkara ini PMBK Sawit
 sejak awal lagi melabur sumber kewangannya di sebuah bank di negeri ini sebanyak
 RM1 juta.

Tambahnya, keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lebih sebulan RM130,000.

Ketika ditanya berhubung pihak tertentu mengkritik tindakan kerajaan negeri sebelum ini,
 beliau berkata kritikan itu hanya kerana sentimen politik.

”Mereka mengkritik bukan kerana takut rakyat tidak akan mendapat sebarang manfaat
sebaliknya kerana dendam politik terhadap kerajaan negeri yang didokongi PAS,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat seluruhnya supaya melabur serta
meningkatkan pelaburan masing-masing kerana keuntungannya bakal diperolehi lebih
besar khususnya penghujung tahun ini.

Menurutnya, kejatuhan dollar Amerika yang tidak berjaya mengekang kewangan
ekonominya disamping jumlah hutang yang kian banyak, akan memberi ruang kenaikan
keuntungan harga emas pada masa akan datang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan